Julai 2008 ~ asampedasikanpari

nuffnang

Khamis, 24 Julai 2008

Bertemu di hujung dahan....?

Heboh cerita mengenai UMNO bermuzakarah dengan PAS dalam membincangkan kedudukan orang melayu dan agama Islam yang kata UMNO sudah semakin berpecah belah...

Kita semua tahu.. UMNO adalah parti yang bertunjangkan semangat bangsa Melayu kerana keperitan bangsa Melayu dahulu dalam melawan penjajah. Kerja UMNO selama 50 tahun ( atau mungkin lebih...) dapat diakui sebagai sebuah parti kebangsaan yang bertahan lama dan menjalankan tugasnya dengan cemerlang. Manakan tidak, ia mampu menunjangi Barisan Nasional menjadikan sebuah negara yang semakin maju dan progresif. Berbanding dengan negara-negara luar yang asyik bertukar parti dan corak kepimpinan, Malaysia masih stabil.

PAS pula sebuah parti berteraskan ISLAM. Sebuah parti politik yang telah lama menjadi pembangkang dalam parlimen Malaysia semenjak dari kemerdekaan lagi. PAS juga telah membuktikan yang mereka bukan sahaja pembangkang, tetapi mampu mentadbir sebuah negeri yang kekal bertahun lamanya dibawah kepimpinan Dato' Nik Aziz di Kelantan. Ditohmah dan dijolok dengan pelbagai agenda pada PRU12 lalu. Namun, kepimpinan ulama ternyata tak mampu digugat, malah semakin kukuh.

Mungkin kita sebagai rakyat Malaysia, hampir melupakan pelbagai analisis PRU12 yang lalu. Ramai yang memberikan pandangan. Dr. - Dr. , pensyarah-pensyarah, tokoh-tokoh malah rakyat sendiri. Tapi aku masih ingat. Malaysia mungkin akan menghadapi suasana politik baru dan mungkin juga cara pentadbiran yang baru. Iaitu Kerajaan Campuran. Dengan situasi 'muzakarah' UMNO-PAS baru-baru ini, angin bertiup kencang dengan PAS dijanjikan jawatan-jawatan tertinggi sekiranya PAS menerima 'pelawaan' UMNO.

Aku sebenarnya sokong sekiranya adanya pertemuan dengan dua parti yang telah lama "bemusuh" ini. Dan aku tak nak ulas mengenai "hidden agenda" samada UMNO atau PAS. Ramai kata UMNO hanya nak alatkan PAS untuk meninggalkan Pakatan Rakyat sebab suasana politik Malaysia sebegitu rupa sekarang. Pakatan Rakyat sebenarnya sedang mencari kekuatan bersama. Dan kononnya sebelum kekuatan itu terbina, UMNO mesti menghalangnya dengan mengalihkan tumpuan PAS daripada Pakatan Rakyat. Aku tak mahu sentuh itu.

Aku akan setuju sekirannya mereka bertemu untuk sama-sama mengukuhkan bagaimana Islam semakin maju dan berkembang dan menyelesaikan masalah berkaitan sosial remaja, anak-anak muda, sumbang mahram, bunuh diri, culik budak dan sebagainya. Bincang bagaimana masjid dijadikan tempat lebih meriah dengan aktiviti keagamaan dan khidmat sosial. Bincang bagaimana mendidik rakyat dalam mengawal situasi hidup yang tertekan dalam konteks agama. PAS memberikan pandangannya dan hujahnya. UMNO memberikan rancangan dan mendengar cadangan orang lain sebagai tunggak pentadbiran negara. Jangan ada perasaan buruk sangka dalam hati dalam "muzakarah' itu. ( walaupun PAS menyebut Muqabalah). Daripada mementingkan kepentingan parti politik masing-masing. Akhirnya rakyat ramai yang menjadi warganegara asing......

Rabu, 23 Julai 2008

Formula Future Kebanggaan Negara

Aku nak ucapkan syabas dan tahniah kepada team Formula Future Negara yang telah menjuarai dan sekaligus mengekalkan title JUARA DUNIA di Itali semalam. Aku bagitau ni.. JUARA DUNIA...!!

Ini bermakna... taraf juara dunia menyamai Nicol David, Roger Faderer, Kimi Raikonnen, Itali, Maria Sharapova, Jerman, Tiger Woods, Valentino ROssi dan semua juara dunia yang ada di dunia...

Syabas dan tahniah aku ucapkan serta ucapan terima kasih kepada pasukan formula future negara yang telah dan semakin mengibarkan bendera dan nama negara.

Tapi, kenapa World Champion Formula Future tidak semeriah Juara Dunia di sukan lain..? Kejayaan team formula future nnegara bukan sekali atau yang pertama kali... Dah 4 KALI..!!! aku ulang.. 4 KALI...

Ok, cuba kita ubah senario ni ke sukan no 1 negara-bolasepak(kononnya..). Katalah... pasukan bolasepak negara telah menjuarai Piala Dunia atau World Cup pada tahun ini dan ini adalah kejayaan ke 4 berturut-turut... apa sambutan menteri-menteri dan pegawai-pegawai kita apabila pasukan tiba menjejakkan kaki di KLIA dengan membawa trofi World Cup semasa turun tangga..? Penyokong menunggu kepulangan wira negara itu sejak dari jam 6 petang lagi walaupun kapal terbang mendarat dijadualkan jam 11.00 malam..!

Berita tentang kemenangan dan kejayaan pasukan negara membawa pulang world cup menghiasi muka depan semua akhbar dalam negara... gambar kapten pasukan negara menjulang piala.. ruangan sukan akan bertambah daripada 4 muka selama ini ke 6 muka.. setiap ruang inci dalam paper diisikan dengan ucapan dan komen dari pemain negara.. pegawai pasukan, pengurus pasukan, peminat, ucapan menteri-menteri, tak kurang juga ada menteri yang akan mengumumkan imbuhan yag bakal diterima oleh wira negara..

Ceritanya tidak habis hari itu, akan bersambung seminggu lamanya ataupun berminggu-minggu, jurulatih, kapten, pengurus pasukan dan pemain terpilih akan dijemput ke semua stesen tv dan radio untuk ditemuramah dengan soalan-soalan yang sama stiap kali dijemput.. "Apa perasaan..?", bagaimana menghadapi situasi berdepan peminat..? dan bermacam lagi..

Kenapa itu smua tidak berlaku pada Wira Negara dari Pasukan Formula Future Negara..?

Khamis, 17 Julai 2008

Apa Nak Di Kata..?

Dua hari lepas, aku baca dari akhbar sinar harian mengenai DSAI. Isinya lebih kurang tentang mengingatkan DSAI agar tidak hanya menumpukan kepada kerusi empuk PM Malaysia. Penulis berkenaan menyatakan bahawa DSAI selaku Penasihat PKR perlu menumpukan tentang hubungan antara pakatan rakyat yang terbentuk di lima buah negeri yang dimenangi sewaktu PRU12 dahulu.

Betul juga pendapat dan pandangan beliau. Ini kerana banyak "rumours" yang tersebar kononnya pakatan rakyat sedang mengalami perpecahan dalaman. Timbul pula cerita yang tersebar melalui email dan SMS yang mengatakan PAS akan mengkaji semula penglibatannya dalam Pakatan Rakyat. Bermula dengan DPPP yang menarik diri daripada terlibat dalam perhimpunan PROTES baru-baru ini kerana ada konsert "underground" yang ditunjangi oleh PKR. Ditambah pula dengan laporan baru-baru ini PAS melalui Presidennya Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang "mempelawa" PM Pak Lah untuk duduk semeja membincangkan tentang kedudukan orang melayu dan agama Islam antara PAS dan UMNO. Kemudian tersebar pula mengenai kononnya perletakkan jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1 yang sentiasa tidak sependapat dengan ketua Menteri. Ini ditambah dengan "lauk-pauk" dari Ezam Mohd Nor yang sedang mengadakan road tour nya menceritakan keretakan dalam Pakatan Rakyat.

Baru-baru ini juga aku terbaca paper kenyataan dari Dato' Seri Dr. Khir ( Ketua Pembangkang Negeri Selangor...) menyatakan Kerajaan Negeri Selangor hari ini hanya menyedok perancangan-perancangan dari pimpinan BN dahulu.

Hmm... aku sebagai rakyat Negeri Selangor dan Malaysia menganggap ini semua adalah cerita yang mempopularkan politik semasa. Aku akui bahawa politik penting untuk mentadbir dan menguruskan sesebuah negeri dan negara. Tetapi, apabila kita sepanjang masa asyik nak berpolitik tanpa memikirkan kepentingan rakyat, lama-lama rakyat bosan dan mula pening kepala.

Selangor yang baru diambil oleh Pakatan Rakyat sedang dilanda "perbalahan" tidak tahu samada ianya dicipta ataupun benar ia sedemikian rupa. UMNO pula daripada semenjak "tewas teruk" dalam PRU12 yang lepas tidak habis-habis mengenai perebutan jawatan tertinggi, EGM sana sini, menyatakan pembangkang itu-pembangkang ini. Baru-baru ini berkenaan peralihan kuasa yang rakyat melihat ianya "tercuriga" setelah bakal PM yang dijangka diserahkan pada 2010 nanti terlibat dengan pembunuhan model itu dan macam-macam lagi.

Di hati rakyat sekarang ini adalah bukan itu semua. Mereka ingin melihat kerajaan yang mereka undi memajukan dan meningkatkan ekonomi rakyat dan membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah. Hampir semua akhbar seminggu dua ini menyatakan tentang politiking dan isu yang boleh menjual akhbar mereka. Isu peralihan, liwat, akuan bersumpah, kehilangan saksi utama, lompat parti. Lagi hangat cerita debat antara Menteri Penerangan dan Penasihat PKR malam kelmarin.

Nampaknya perubahan yang rakyat mahukan selepas pilihanraya masih belum menjelma dan masih kelamkabut. Mungkin masih baru dan belum beberapa tahun. Aku faham itu. Untuk menjadi seperti Selangor dan Malaysia sekarang ini, ia mengambil masa yang lama. 50 tahun selepas kita merdeka. Tapi sekurang-kurangnya dalam keadaan sekarang, cara yang lebih berkesan untuk sentiasa kekal dalam keamanan adalah.... jumpa rakyat yang mengundi selalu... tak perlu membuat perubahan yang terlalu drastik. Aku rasa dengan cara itu, rakyat akan melupakan kisah yang "hangat di pasaran" sekarang.

Selasa, 15 Julai 2008

Kontrak Kita

Dua hari lepas, aku baca artikel dalam website mantan PM, Tun Dr.M. yang menceritakan tentang sejarah bagaimana sesuatu yang dinamakan kontrak sosial terjadi.

hm... aku rasa,, aku tak payah nak memanjang-manjangan cerita pasal ni. Aku ucapkan terima kasih kepada Tun kerana sudi menulis tentang kontrak sosial ni. Bagi aku, beliau memang layak menerangkan kepada semua tentang kontrak sosial. Aku rasa korang semua boleh baca kat web Tun sendiri mengenai kontrak sosial itu.

Seseorang rakyat (macam aku) yang amat mencintai negara sendiri dan seharusnya (wajib..) mencintai negara sendiri, kena lihat perkara ini. Untuk makluman semua, Malaysia adalah sebuah negara yang unik. Satu-satunya negara di dunia yang rakyatnya hidup pelbagai kaum, etnik, budaya, ideologi dan macam-macam lagi, tetapi boleh hidup dalam aman dan tenteram di mata negara lain. Kunci keamanan itu adalah perpaduan dan kefahaman kita untuk menjaga ketenteraman dalam negara. Aku percaya, semua rakyat tidak mahu negara porak peranda dan hidup susah macam zaman penjajahan dulu. Sebab itu, Atok-atok dan nenek-nenek kita tak jemu-jemu ceritakan kesusahan mereka pada waktu itu. Kita pulak jemu-jemu mendengar kisah sejarah mereka. Kesian mereka... !!

Bagi aku, anak-anak muda (macam aku) kena tahu dan wajib memahami sejarah pembentukan negara ita. (dulu subjek sejarah dalam SPM aku pun ngam-ngam jer....) Sekarang ni kita dah ada PLKN yang mendapat sambutan hangat. Memang la hangat sebab mereka diwajibkan dan termaktub dalam akta. Itu program untuk bebudak yang lepasan SPM yang menunggu keputusan mereka. Aku memang setuju sangat mereka dibuat sebegitu. Tapi program tu tak lama. Hanya beberapa bulan. Lepas tu, diorang..?

Pandangan aku camni... minta kerajaan fikirkan tentang satu program ala-ala PLKN yang khusus untuk mereka yang berumur 21 tahun. camner..? mereka "grade" ajer dari Universiti atau kolej, atau rakyat malaysia yang cukup mencapai umur 21 tahun, pergi ke program tu untuk mengenal betul-betul sejarah negara. tak lama... aku cadangkan seminggu untuk satu sesi pengambilan. Isinya..? ada tanggungjawab rakyat kepada negara, kerajaan kesultanan tanah melayu, penjajahan british ke tanah melayu, penjajahan jepun ke tanah melayu, kemerdekaan negara, pembentukan negara dan lain-lain yang difikirkan ada kaitan TANPA UNSUR POLITIK..!!! memang betul tajuk-tajuk tu ada belajar masa kita di sekolah menengah dulu, tapi korang masih ingat ker..? lagipun ianya tak dibincangkan secara lebih mendalam.

Itulah pandangan aku. Korang boleh fikirkan dalam benak hati korang sendiri dan kalau nak terima dan boleh difikirkan, ambiklah.. kalau taknak, takpe... aku tak paksa...

Isnin, 14 Julai 2008

Salam Pengenalan...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Salam Sejahtera kepada semua pelawat-pelawat...

Aku perkenalkan blog aku. Hari ini dalam sejarah aku sendiri kerana aku telah diterima sebagai penulis blog dan blog yang aku namakan "asampedasikanpari" ini adalah untuk semua orang yang sudi menerima dan mengomen pandangan aku sendiri berdasarkan pembacaan aku. Kenapa "asampedasikanpari"..? aku suka makan lauk tu ...!!!

Aku akan cuba memberikan seberapa banyak maklumat untuk dikongsi bersama. Lagipun aku bukan orang besar manapun. Cuma aku bertanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang tercinta ini, memberikan kebebasan untuk meluahkan apa yang biasanya terbuku di "kepala hotak" aku ketika ini.

Hmmm... Aku cuba buat yang terbaik... Dan aku tak terhadkan topik2 aku.. aku rasa aku akan bebas "menaip" apa saja perkara ikut suka aku.. Biarlah orang kata aku syok sendiri.. Yang penting hati aku tak sakit.. Doktor-doktor kata, kalau ada perkara yang selalu simpan dalam "hotak" dan hati, ia adalah perkara awal mendapat sakit jantung..!! Wah..!!! Aku tak nak sakit jantung..!!

Anyway... aku akan cuba juga update blog nih sekerap yang boleh.. ikut kemampuan aku...

SO. jumpa lagi....

Pengikut Blog Ini

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | free samples without surveys