asampedasikanpari: teori

nuffnang

Memaparkan catatan dengan label teori. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label teori. Papar semua catatan

Isnin, 2 Januari 2012

Teori Gagne 9 Events


Teori Gagne Nine Events
Teori Gagne Nine Events yang diperkenalkan oleh Robert M. Gagne membantu guru memahami proses belajar sehingga dapat mempengaruhi dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Ia juga dapat mengembangkan proses dan isi pengajaran agar pembelajaran menjadi lebih mudah difahami, seronok dan murid dapat dilibatkan. Sistem instruksional yang diperkenalkan oleh Gagne ditakrifkan sebagai rangkaian peristiwa yang dirancang dari luar yang mempengaruhi proses dan meningkatkan pembelajaran ( Nur Syamim & Nurul Hazwani, 2010). Teori yang dibangunkan oleh Gagne ini adalah amat berkait rapat dengan teknologi. Guru boleh menggunakan teknologi yang asas seperti komputer misalnya. Guru perlu juga kreatif dalam melaksanakan pengajaran dengan menggunakan beberapa unsur-unsur multimedia seperti gambar, video, sound atau suara dan sebagainya.
Robert Mills Gagne dilahirkan pada 21 Ogos 1916 di North Andover, Massachusetts, Amerika Syarikat. Beliau mendapat PhD dari Brown University pada tahun 1940. Beliau menjadi professor dalam bidang psikologi pendidikan pada 1940-1949 di Connecticut College. Beliau juga pernah menjadi professor di Jabatan Pendidikan Penyelidikan di Florida State University pada tahun 1969.
Gagne pernah berjawatan sebagai pengarah penyelidikan untuk tentera udara pada 1949 hingga 1958 di Lackland, Texas. Beliau juga pernah bekerja sebagai perunding untuk Jabatan Pertahanan dari tahun 1958 hingga 1961. Beliau juga pernah menjawat jawatan pengarah penyelidikan di American Institute of Research, Pittsburgh mulai tahun 1962 hingga 1965.
Robert M. Gagne juga banyak menulis dan mengedit buku dan artikel. Antaranya ialah Kesediaan Belajar ( 1965 hingga 1985 ), Prinsip Design Instruksional ( 1974 hingga 1992 ) dan Psikologis Prinsip dalam Pembangunan pada tahun 1962.
Proses pembelajaran yang Gagne perkenalkan iaitu Gagne’s Nine Events menurutnya mampu meningkatkan kognitif pelajar dalam pembelajarannya. Events atau peristiwa yang disusun oleh mengikut turutan bermula dengan Gain Intention atau menarik minat. Kedua, menyampaikan tujuan atau objektif pelajaran yang hendak disampaikan. Ketiga, mengingat kembali atau mengimbas tajuk-tajuk yang berkaitan sebelum ini. Keempat ialah menyampaikan isi kandungan pelajaran. Kelima, memberikan panduan dan bimbingan dalam pelajaran berkenaan tajuk yang diajar. Keenam, memberikan latihan sebagai gerak kerja kepada murid. Ketujuh pula ialah guru memberikan tindakbalas terhadap jawapan yang diberikan oleh murid. Kelapan ialah menilai kemampuan murid dengan mengukur prestasi murid dengan markah yang diperolehi dan yang terakhir adalah aktiviti menguatkan ingatan kepada murid agar mereka dapat menyimpan hasil pembelajaran pada hari itu dalam memori.
contoh slide mengikut Gagne 9 Events ( klik link ini ) atau ruangan mut turun di sebelah kanan blog.. 
Rujukan :
Bambang Warsita. 2008. Teori Belajar Robert M.Gagne dan Implikasinya Kepada Pusat Sumber Sekolah. Jurnal Teknodik., Volum 12, 65-79.

Dy Rosita Hj Yaakub, Maladiah Diman.2008. Penggunaan Teknologi Pendidikan dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Negara Brunei. http://www.slideshare.net/Dr22s/teknologi-pendidikan

Fakulti Pendidikan,. Konsep Penilaian. Universiti Malaya, Kuala Lumpur. http://pendidikanmoral.um.edu.my/index.php?page=61
Hajijah Hasan.2009. kaedah Mesra Warna ( Di kalangan Murid Tingkatan Lima). http://www.smk-majakir.net/modules/news/Jurnal%20Munsyi/Hajijah%20Hasan.pdf
Jabatan Mufti Melaka. Sejarah Haji. http://www.al-azim.com/haji/sejarah.htm
Mufti Kerajaan Brunei. 2010. IBADAT HAJI: PERMASALAHAN MELONTAR JAMRAH. http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2010/bill22-2010.pdf
Muhammad Aminul Khalil Bin Zaini, Muhammad Amir Al-Hafiz Bin Zulkifli dan Muhamad Ridhuan Bin Ghani. 2010. Implikasi P & P Teori Pemprosesan Maklumat – Robert Mills Gagne. http://ridhuanghani.blogspot.com/2010/08/implikasi-p-p-teori-pemprosesan.html
Norazrena Abu Samah & Shaharuddin Mohd Salleh.2011. Laman Web Matematik Bagi Tajuk Kebarangkalian Berpandukan Sembilan Aspek Pengajaran Gagne dan Teori Pelaziman Operan Skinner. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia, Jilid 1, Nombor 1, 63-73. .
Norazrena Abu Samah & Shaharuddin Mohd Salleh. 2009. Pembangunan Laman Web Matematik Berasaskan Sembilan Aspek Pengajaran Gagne Bagi Tajuk Kearangkalian I dan II. Universiti Teknologi Malaysia, Johor.
Rosli Abd Rahman.2008. Keberkesanan Kepimpinan Instruksional Mewujudkan Budaya SMKA Yang Kondusif. http://www.iabu.moe.gov.my/kkerja2008/Rosli%20Shams_PPT.pdf.
Universiti Teknologi Mara, Kedah. Sains Dan Teknologi Dalam Islam. http://lib.kedah.uitm.edu.my/psblibrary/notes/languagestudies/layout/notes/CTU%20211/1.pdf

Jumaat, 30 Disember 2011

Pengertian Kaunseling

PENGENALAN

Kehidupan seharian yang kita tempuhi pada zaman sekarang memerlukan kita menjadi seorang yang kuat bekerja. Adakalanya sehingga kita tidak dapat mengurus masa yang dirasakan begitu cepat berlalu. Pekerjaan rutin harian yang dilakukan adakalanya terpaksa dilakukan beberapa perkara serentak. Lama-kelamaan, kita menjadi tertekan dalam situasi begini. Jadi, apa yang perlu kita lakukan? Kaunseling dari segi pengurusan masa adalah satu contoh.

PENGERTIAN KAUNSELING

Perkataan kaunseling adalah berasal daripada Bahasa Inggeris “counselling”. Kamus Oxford Fajar Dwibahasa (2008), perkataan “counsel” bermaksud nasihat, saranan. Melalui carian, beberapa definisi mengenai kaunseling boleh didapati.

Universiti Kebangsaan Malaysia melalui laman portal e-kaunseling meletakkan pengertian kaunseling sebagai suatu proses perhubungan menolong yang sistematik berasaskan prinsip psikologi dan dijalankan oleh kaunselor yang professional bagi membantu perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh. Pertemuan antara klien dan kaunselor adalah secara sukarela dan berterusan sepanjang hayat berdasarkan etika kaunseling.

Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat (2010) mendefinisikan kaunseling adalah satu proses perhubungan menolong secara professional berdasarkan prinsip-prinsip psikologi yang dilaksanakn oleh kaunselor mengikut Kod Etika Kaunselor bagi membantu klien meneroka, menganalisis, memahami diri dan mampu membuat keputusan sendiri.

Prof. madya Dr. Mohd Sidek Mohd Noah melalui laman web www.ppl.edu.my (2011) menyatakan kaunseling adalah komunikasi atau interaksi bersemuka secara dua hala antara dua orang manusia iaitu kaunselor dan klien melalui proses kaunseling dengan tujuan untuk mencapai matlamat yang ditentukan.

Asmawati Baharudin dari Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan memberi pengertian bahawa kaunseling adalah proses interaksi individu memahami diri dan situasinya yang mengakibatkan pembentukan atau penjelasan matlamat dan nilai hidup individu sehingga dia dapat menentukan tindakan yang wajar untuk masa depannya. Beliau berpendapat kaunseling juga adalah proses pertemuan interaksi bersemuka antara kaunselor dengan klien yang mengakibatkan berlaku perubahan kepada klien.

Ee Ah Meng (1998) merumuskan definisi kaunseling sebagai perhubungan bersemuka yang disifatkan sebagai hormat-menghormati, komunikasi berkesan, menggalakkan kebebasan pemikiran dan pernyataan perasaan klien, hasilnya bergantung kepada klien, perkhidmatan professional, bukan semata-mata memberi maklumat dan nasihat, tidak cuba mempengaruhi klien dan bukannya proses temuduga atau memilih kerjaya untuk klien.

Daripada definisi-definisi yang diberikan di atas, kaunseling boleh dirumuskan sebagai proses pertemuan bersemuka secara professional antara kaunselor dan klien dengan tujuan dapat membantu klien membuat keputusan sendiri dan mencapai matlamat yang ditentukan

TUJUAN KAUNSELING

Kebanyakan orang menganggap kaunselor boleh memberikan jalan penyelesaian atau menyelesaikan masalah dan dapat memberikan satu keputusan yang boleh menggembirakan. Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling lebih merupakan satu perkhidmatan yang memberi pertolongan dan bantuan oleh kaunselor untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian yang akhirnya klien sendiri yang membuat keputusan. Salmi Jalina Jalil (MStar Online-5 Mei 2010) menyatakan perjumpaan dengan pegawai kaunseling atau pegawai psikologi tidak hanya wujud masalah malah untuk berbincang, mendapatkan penerangan dan bimbingan untuk meningkatkan kemahiran dalam menghadapi cabaran hidup.

Keseluruhannya, tujuan-tujuan kaunseling adalah seperti :

1. Membolehkan perubahan tingkahlaku dapat dilakukan dengan mudah. Apabila ia terjadi, maka proses perubahan ke arah positif dapat dipercepatkan.

2. Dapat meningkatkan keupayaan klien dari segi menguruskan kehidupannya sendiri, keupayaan dari memperkembangkan minat, bakat dan kebolehan serta meningkatkan perhubungan dengan kaum keluarga, sahabat handai, guru-guru dan masyarakat sekeliling.

3. Dapat membantu klien dalam membuat keputusan. Oleh itu, sesi kaunseling akan membantu klien membuat keputusan yang bijaksana serta memahami sebab sesuatu keputusan itu dilakukan dan sanggup menanggung risiko terhadap keputusan tersebut.

4. Menolong klien dapat mencapai potensi individu. Kaunseling akan memberikan ruang kepada klien mempelajari atau memberikan jalan untuk meningkatkan keupayaan, minat dan bakat ke tahap yang maksimum.


TEORI KAUNSELING

Asasnya, kaunseling menggunakan teori-teori yang berkait rapat dengan tingkah laku. Ini kerana tujuan dan matlamat kaunseling pada akhirnya dapat merubah tingkah laku klien dari semua segi agar dapat berubah.

1. Teori Pelaziman Klasik

Teori ini dipelopori oleh dua orang yang begitu sinonim dalam bidang yang begitu asas iaitu psikologi. Di peringkat awal, ia dipelopori oleh Ivan Petrovich Pavlov atau dikenali sebagai Ivan Pavlov yang berasal dari Rusia. Kajian beliau yang terkenal adalah mengenai tindakbalas seekor anjing. Beliau dan rakan-rakan telah memerhatikan perubahan dalam air liur haiwan tersebut dengan meletakkan makanan apabila loceng dibunyikan dan tidak dibunyikan. Hasil kajiannya, beliau telah mengemukakan konsep rangsangan dan gerak balas. Rangsangan adalah bentuk tenaga yang menimbulkan gerak balas, manakala gerak balas adalah tingkah laku yang timbul akibat rangsangan. Pavlov menyimpulkan bahawa pembelajaran berlaku akibat kaitan antara rangsangan dan gerak balas dan ia dinamakan pelaziman klasik. (OUM,2008).

J.B Watson adalah seorang lagi ahli psikologi yang mengkaji pendekatan tingkah laku. Beliau menggunakan pendekatan ini terhadap manusia. Kajian beliau telah membuktikan bahawa emosi manusia juga boleh dilazimkan melalui pelaziman klasik. Dalam eksperimennya, beliau telah menggunakan seorang kanak-kanak yang bernama Albert dan seekor tikus putih. Pada awalnya, Albert tidak takut kepada tikus. Namun, apabila satu bunyi yang kuat dihasilkan ketika tikus itu keluar, Albert menangis dan menjadi takut. Watson mengulangi ujikaji ini sehingga akhirnya, Albert menjadi takut kepada tikus putih, kapas putih dan rambut putih. Eksperimen beliau juga menunjukkan emosi individu boleh dipelajari dan diubah melalui pelaziman klasik.

2. Teori Pelaziman Operan

Burhrhus Frederic Skinner lebih dikenali sebagai B.F Skinner adalah individu yang memperkenalkan Pelaziman Operan Skinner. Kajian beliau juga melibatkan rangsangan dan gerak balas. Skinner banyak membuat kajian terhadap tikus, burung merpati dan manusia. Kajian beliau yang popular adalah memperkenalkan “Skinner Box” Seekor tikus lapar diletakkan di dalam kotak tersebut yang dilengkapi dengan alat penekan. Tikus yang lapar tersebut telah berlari ke keseluruhan kotak untuk mencari makanan dan secara tidak sengaja telah menekan alat di dalam kotak tersebut. Perlakuan itu menyebabkan biji-biji makanan terkeluar dari tempatnya. Perlakuan yang sama diulangi dan tikus mempelajari makanan dapat diperolehi apabila menekan alat. Pembelajaran cara ini dinamakan pelaziman operan. Selepas itu, Skinner mengubahsuai alat tersebut dengan memutuskan hubungan alat dengan makanan. Ini mengakibatkan bijian makanan tidak terkeluar apabila alat ditekan. Hasilnya, tikus berhenti menekan alat tersebut. Eksperimen Skinner ini menunjukkan gerak balas wujud apabila ada ganjaran dan dinamakan peneguhan. Peneguhan positif adalah seperti pujian, ganjaran, hadiah atau sebagainya. Peneguhan negatif dikenali sebagai dendaan atau hukuman yang diberikan agar pelakuan itu tidak diulangi lagi.

3. Terapi Tingkahlaku Kognitif

Teori ini dipelopori dan dikembangkan oleh Albert Ellis pada tahun 1950-an. Terapi ini adalah kombinasi daripada dua cabang pemikiran yang berbeza iaitu tingkah laku dan penekanan kepada kognitif. Manusia tidak boleh menerangkan kejadian atau tingkah laku hanya melalui prespektif tingkah laku sahaja tetapi perlu mengambil kira proses pemikiran yang dinamakan sebagai proses kognitif. Asal teori ini dikenali sebagai REBT ( Rasional Emotive Behavioral Therapy ). Ia sebenarnya menekankan peranan pemikiran sebagai punca kepada masalah. Ia menyatakan manusia perlu merubah cara berfikir supaya dapat membetulkan fikiran yang tidak rasional. Ellis mengatakan manusia menjadi semakin tidak rasional apabila sentiasa memikirkan idea-idea yang tidak rasional. Selain itu, ia menekankan dari aspek berfikir, membuat keputusan, menyoal dan kembali membuat keputusan. Ellis mengemukakan teori A-B-C di mana A ialah peristiwa atau pengalaman yang menggerakkan, B ialah kepercayaan dan C ialah akibat. Sebagai contoh, seorang kaunselor perlu membetulkan kepercayaan (B) klien yang tidak rasional daripada akibat (C) yang dia lalui sekarang dikatakan berpunca daripada peristiwa (A). Kaunselor seterusnya mencabar kepercayaan yang tidak rasional itu (D) dengan memberikan pemikiran yang rasional dan klien nanti akan mengalami kesan atau kepercayaan yang tenang dan lega (E). (Ee Ah Meng, 1998 ).


Pengikut Blog Ini

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | free samples without surveys